Padang Merdeka sudah dikenali umum semenjak 1844 apabila Istana Balai Besar dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II (Long Senik Mulut Merah). Namun begitu, pada masa itu, Padang Merdeka dikenali dengan nama "Padang Kelupang" dan kemudiannya dikenali sebagai "Padang Bank" oleh penduduk tempatan berikutan kewujudan sebuah bank di sebelahnya pada 1912 (The Mercantile Bank of India Limited atau Bank Kerapu). Padang Merdeka hanya dinamakan sedemikian bila mana pengisytiharan kemerdekaan bagi negeri Kelantan diadakan di sini pada 31 Ogos 1957.
Padang Merdeka juga banyak menyaksikan pelbagai peristiwa penting. Selain pengisytiharan kemerdekaan, di sini juga mayat Tok Janggut, iaitu seorang pahlawan Kelantan yang bangkit menentang penjajah Inggeris, telah dimalukan digantung songsang di hadapan umum. Peristiwa berkenaan berlaku pada tahun 1915 setelah Tok Janggut terbunuh dalam satu pertempuran di Pasir Puteh. Antara yang dapat ditemukan di sini adalah tugu khas yang dibina oleh British sebagai memperingati warga British yang berkhidmat di Kelantan kemudian terkorban di pentas Perang Dunia Pertama (1914-1918) di Eropah. Pengungjung boleh membaca sendiri nama-nama mereka yang tercatit pada plak bertulis bahasa Inggeris, Melayu (JAWI), Cina dan Tamil di tugu berkenaan. Kini, pelbagai acara kebesaran negeri seperti Acara Sambutan Hari Keputeraan KDYMM Al-Sultan diadakan di padang ini setiap tahun. Selain itu, padang ini juga turut sekali sekala dijadikan oleh penduduk setempat sebagai tempat beriadah dan bersukan.